RAWANG:
Oleh Kartini Noor
TAHUN ni buat pertama kalinya, pasangan poligami dari bukan kalangan orang Gisb Holding Sdn Bhd (Gisb) mengambil bahagian dalam pertandingan memasak pasangan poligami - Poligami Itu Indah yang diadakan di perkarangan pusat perniagaan Gisb di Rawang, baru-baru ini.
Pasangan itu, Encik Amran dan dua isterinya, berasal dari Batang Kali, Selangor sudah berpoligami 23 tahun, mengambil bahagian bagi bersama-sama membuktikan kehidupan bermadu itu indah apabila satu keluarga besar berkerjasama dalam semua aspek.
Encik Amran berkata, isteri pertamanya yang melamarkan isteri kedua kepadanya kerana isterinya itu pun berasal daripada keluarga yang berpoligami.
Katanya, kehidupannya berpoligami berteraskan kerjasama membina rumahtangga, adil dan sikap terbuka dengan isteri-isterinya dan yang ketara, rumahtangga lebih mudah bila berkongsi tugasan.
Beliau adalah antara 14 pasangan poligami yang mengambil bahagian dalam pertandingan memasak tahun ini. Malah peserta poligami kali ini lebih ramai dikuasai oleh golongan tertengahan umur, bila suami isteri berpoligami dalam usia nak masuk 30-an.
Hanya lima veteran poligami ambil bahagian, selebihnya oleh orang muda yang ketara memperlihatkan kerjasama yang telus, berkasihsayang dan ukhwah yang berteraskan takutkan Allah dan rindukan Rasulullah.
Pasangan itu menyediakan sajian minum petang menggunakan produk yang disediakan oleh rangkaian kedai perniagaan Gisb. Ada yang menyediakan tomyam, cempedak goreng dan pelbagai juadah yang memakan masa sejam setengah.
Penyeleras Siti Norbaya, berkata pertandingan memasak ini menjadi acara kemuncak dan penting kerana memasak ini lambang satu kesenian yang tinggi dan kehalusan kerana menerusi penyediaan makanan ini, menggabungkan aspek rasa dan kelazatan, personaliti, soal hati, kerjasama, dalam hidup bermadu.
"Kita saksikan dalam pertandingan ini, madu-madu ini menggunakan pisau, objek yang tajam, botol, periuk belanja, dan sudah pastilah kalu ada perasaan cemburu, sakit hati dan dendam, senjata itu berteraburan.
"Hari ini, kita semua saksikan bagaimana isteri-isteri ini berbincang dan masing-masing merangka satu resepi yang disukai oleh suami dan semua keluarga," katanya.
Turut hadir meraikan pasangan itu ialah Dato Lokman Hakim Pfordten, Ceo Gisb Holdings. Pertandingan itu adalah kemuncak acara dalam Karnival Kemerdekaan ke-61 yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis 30 ogos hingga 2 September 2018. Selain itu, turut diadakan perarakan pengantin poligami dan monogami.
Berdasarkan kenyataan Gisb, bilangan keluarga poligami Gisb ialah 431 keluarga dan monogami pula 1083. Gisb mempunyai 1,514 keluarga dengan bilangan kakitangannya 4818 orang.
Encik Hanzalah salah seorang krew TV Ikram yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu gembira kerana dihadiahkan seorang lagi adikmadu oleh isterinya, dua minggu lalu.
Beliau menyifatkan amanah yang diterimanya sangat berat untuk mendidik rohani isteri-isterinysa.
Rakannya, Zainudin bersama isteri-isterinya, yang menyeleraskan Media Ikhwan juga menyediakan resepi bertajuk "Merdekakan Hati untuk Poligami" menyifatkan tanggungjawab suami berpoligami ini satu tugasan mencabar dalam membimbing isteri-isterinya.
No comments:
Post a Comment